Mencari songkok tinggi dan sepasang teluk belanga

Lautan manusia dalam bazar raya
menjadi pelanggan yang memilih-milih
dan peniaga melaung kata
dipilih-pilih, dipilih-pilih
dengan menawar sepatut harga
songkok tinggi hitam
dan sepasang teluk belanga
selempang masih yang lama
belum lagi terjumpa
yang berkenan elok di mata
buat dipakai pagi raya
pakaian hari kemenangan
pakaian warisan budaya

Pasar Borong Pandan
29 Aug, 2010

Advertisements
Published in: on August 30, 2010 at 1:18 pm  Comments (2)  

Bahasa Merdeka

Parit Raja, 2008.

Parit Raja, 2008.

Published in: on August 28, 2010 at 10:32 pm  Comments (4)  

Kaca Kepercayaan

kepercayaan diberi
ibaratlah ia seperti kaca
diletak tempatnya yang tertinggi
agar khianat susah mencapainya
biar jauh dari lidah yang memungkiri
supaya terjaga sepanjang masa

kepercayaan diberi
ibaratlah ia seperti kaca
diletak tempatnya yang tertinggi

jika jatuh hempas ke tanah
pecah berderai tiada lagi

29 Aug, 2010
Johor Bahru

Published in: on August 28, 2010 at 5:37 pm  Leave a Comment  

Erti kata lainnya

Dalam erti kata dingin,
sejuk itu ialah kata lainnya,
yang dibawa oleh angin,
oleh kelembutan bayunya.

Dalam erti kata hidup,
bernafas ialah seertinya,
selagi jantung masih berdegup,
tempuhilah laluan berliku pancaroba.

Dalam erti kata jiwa,
hati itu ialah puncanya,
yang membenih dengki ataupun jasa,
oleh gerak badan ia bekerja.

Dalam erti kata indah,
cantik itu ialah maksudnya,
yang tidak selamanya kekal akan musnah.
oleh masa kian senja dihujung usia.

Itulah kemewahan bahasa,
seerti dan semakna,
dari akallah ia tercipta,
yang dilestarikan oleh Pencipta.

Sebelum berkahir;
dalam erti kata nafsu,
ialah gelora yang bergolak di dalam kalbu,
yang membutakan kepandaian, memadamkan ilmu,
menuntut dipenuhi dan diperaku.

Dalam erti kata cinta,
ialah seerti kerinduan dan kasih sayang,
tidak menuntut lafaz janji setia,
tetapi sama mengerti payah dan senang.
Yang  difaham dari kamus kalam.

Parit Raja,
August 14th, 2008

Published in: on August 26, 2010 at 5:16 pm  Comments (2)  

Inginkah

Berfikir
sambil menghirup panas kopi secangkir
nafasnya berhempus terbazir
akal pun cuba mentafsir.

Di balik tabir yang cabir
ada ingatan yg tercicir
ingat pada seorang fakir
yang gigil ketika berzikir.

Di manakah hidup akan berakhir?
ke manakah tuju dialir?
sehingga nafas kucar dan kacir
nyawapun dirampas Izrail
sedarnya disoal Nangkir

Tika keinginan berakhir.

Molek Garden,

Aug 9, 2009

Published in: on August 26, 2010 at 4:07 pm  Leave a Comment  

Sahur pagi

Kita bangun diperbacaan 50 ayat-ayat suci
ketika garingnya di udara sahur pagi
disapu muka pada air yang dingin
mengejutkan deria dan membangkitkan ingin
semakin detik melangkah perbatasan masa
kita masih antara lena dan jaga

perlahan-lahan melangkah kita
dengan kedip mata; kejap tutup kejap buka
sekemas mungkin timpuh bersila
menghadap juadah yang secicip cuma
segelas air putih dan sebutir tamar
cukuplah sekadar lidah menjamah
semoga berkahnya menjadi tenaga
yang tidak putus dibakar panas kerja
buat penyambung sampai tiba senja

dan di udara masih berkumandang ayat-ayat suci
yang mengenyangi halwa telinga
dan pagi telah turut bersendawa
untuk satu hari Ramadhan yang suci

Molek garden
Aug 25, 2010

Published in: on August 24, 2010 at 10:23 pm  Leave a Comment  

Ruang

Ruang

Kosong dan lompong
dalam direnung
tajam ditenung
diam termenung
angan menggunung
termimpi pasung

ruang
sunyi dari cahaya
gelap dari suara
bising berpancaroba
senyum terduga
sinis tertawa
meraba-raba

ruang
sungai fikir kontang
laut akal gersang
pohon cerdik layu
gurun cita-cita beku
daun idaman kering
bunga cinta gering
ruas jejari patah
memandang yang salah

dipersunting bunga
sudahnya akan layu

Sand Warehouse
24 Aug, 2010

Published in: on August 24, 2010 at 4:11 am  Leave a Comment  

Bait Taslim

serumpun adat semi bermusim
serumpun sifat demi setakwim
berbekal budaya waris ditakzim
menjalur diri dilalu takdim

seiringberubah kekar iklim
masih serupa berusul jirim
seiring meminta kasih Ar-rahim
kerana di dunia kita yang yatim

seluhur budi mustaqim
membenih cinta intim
memaut kasih kadim
memudi ke jalan mualim

johor bahru
Dec 9, 2009

Published in: on August 21, 2010 at 9:30 pm  Leave a Comment  

Jemaah berbuka

Kita jemput saudara bertandang
ke rumah yang lebar setiang
dua tiga orang, dua tiga keluarga
dewasa yang dimamah usia
si cilik yang ria ketawa
berjemaah, berbuka di senja

tamar yang merah, sirap yang cerah
bermula bismillah, di akhir alhamdulillah

Taman scientex
Aug 21, 2010

Published in: on August 21, 2010 at 2:24 pm  Leave a Comment  

bahasaku

bahasaku senyum
bahasaku ketawa
bahasaku muncung
bahasaku getap bibir
bahasaku berkedip mata
bahasaku mengerut dahi
bahasaku mengurut kumis
bahasaku tangan di dagu
bahasaku berpeluk tubuh
bahasaku berdiri tangan di saku
bahasaku duduk kaki bersilang

kalau tak faham silakan belajar lagi!

Molek garden
Aug 17, 2010

Published in: on August 16, 2010 at 4:30 pm  Comments (3)