Padang, Ku Kirim Belasungkawa

Tanah Padang,
satu kesedihan untuk dikenang,
ketika air mata jatuh berlinang,
ketika hati diraut bimbang,
ketika akal hampir-hampir pincang,
jasad-jasad manusia disayang,
telah karam dalam peristiwa malang,

anak-anak kecil dulu tertawa kini menangis,
menepis raut wajah comel yang terbingkis,
tidak pasti mereka mampu menjadi futuris,
setelah tanah ini diganyang ketika gerimis,

ibu-ibu yang mesra tamah kini membisu pilu,
gegar-gegar kesedihan terasa di dalam kalbu,
bisik-bisik kecewa menerobos di setiap penjuru,
seperti tanah itu menerobos di setiap liku,
meranapkan kehidupan, kediaman, harapan yang seribu,
meruntuhkan kasih sayang, cinta dan rindu,
melenyapkan kenangan ketawa, mesra keluarga yang dicandu,
dalam sedetik masa, sekelip mata, senafas nyilu,

ayah-ayah yang dulu gagah menguraikan titik peluh untuk keluarga kini tertunduk lemah,
terasa kehidupan semakin payah,
meretakkan tiang sabar yang mula goyah,
umpama sang tanah yang menimbus si asabah,
hati lelaki menangis dalam syahdu gundah,
meratib dalam mihrab hati meminta sedikit fatanah,
di atas sejadah doanya pohon pada Ilahiah,

Betapa hati ini turut terasa,
betapa hati ini turut serta,
betapa hati ini turut nestapa,
meski bukan kami yang ditimpa,
meski bukan kami yang digempa,
meski bukan kami yang dibencana,
datangnya ialah peringatan yang Esa,
ingin kami sampaikan belasungkawa,
buat insan di Padang redhalah di dalam doa,
doa kami semoga sejahtera.

October 12,2009
12:59am
Published in: on September 27, 2010 at 3:20 pm  Leave a Comment  

Suatu senja

Senja berkilau-jingga di langit mega
digarhayu angin- bisu mencengkam dingin
wajah-wajah kekasih tuhan terlukis kepenatan
satu hari tanpa duga dan ujian
bukan kita namanya insan

matahari terbit terlukis cantik
matahari terbenam molek terpotret
barat dan timur; tenggelam dan muncul
semakin bahang tasbihnya makin badang
semakin jauh zikirnya makin utuh
dan keringat pun jatuh subur di dahi bumi
menjadi benih berisi pepohon rezeki
bercambah dan mekar, berkembang menjalar

Senja yang kita anggap garang
sebenarnya seorang gadis remaja tenang
datangnya sekejap dan lekas lenyap
tidak sempat kita ciumi cahayanya
yang dahsyat seperti redup anak mata
melihat kita masyghul bersuakĀ  sugul
segeralah ia pergi membawa kirmizi
kerana tidak sanggup lagi bersaksi
di masa tuhan akan mengotakan janji

Molek Garden
Sept 25, 2010

Published in: on September 25, 2010 at 10:43 am  Leave a Comment  

Sujud cinta

suatu ketika di atas sejadah cinta,
dalam dingin pagi hari rindu,
ingin benar matahari menyinarkan kasih,
menggantikan malam suram yang sedih,
namun masa masih berjalan perlahan,

angin itu masih sejuk,
tanah itu masih basah,
air itu masih mengalir,
bunyi itu masih berdesir,
api itu masih berbara,

iktikafnya masih istiqamah,
dalam sujud panjang yang diam,
kaku dalam nikmat pada posisi paling rendah,
jika sebelum ini berdiri tinggi dengan megah,

sehingga lupa pada kaki itu adalah suatu nikmat yang dipinjam cuma,
sehingga lupa pada setiap langkah ada dicatit perginya,
sehingga lupa pada tempat yang diziarahi ia akan menjadi saksi,

sujudnya panjang di antara malam menanti siang,
antara bernafas dan berjuang,
antara duka dan girang,
antara gelap dan terang,
antara sempit dan lapang,

sujudnya diam,
sujudnya menafsir diri,
sujudnya muhasabah hati,
sujudnya meratib rohani,
sujudnya kaku,
sujudnya berair mata,
rasalah sujud itu suatu nikmat cinta,
sujud airmata yang hati turut menangis,
sujud airmata yang akal turut sedih,
sujud airmata yang jiwa menagih kasih,
sujud airmata rindu dan cinta ya Rabb.

“maka tidak dijadikan manusia itu sia-sia
jika tidak untuk sujud kepada-Ku”.

December 27, 2009
10:13am

Published in: on September 23, 2010 at 5:07 pm  Leave a Comment  

Pantun Rasa Jiwa

Ranum cinta dirasa alam,
sayang berharga tidak diingin,
ingin saya menyampai salam,
namun hanya di dengar angin.

Tanah di depan luas berjuta,
hanya diingin tempat berdiri,
terpanah tuan dimata saya,
sakit mengenang sampai ke hati.

Dingin senja kerana bayu,
malam hangat tidak terasa,
ingin berjumpa tidak bertemu,
ingin mengingat tak tahu siapa,

dalam pelita apinya marak,
ditiup angin melintuk layang,
dalam berjumpa orang yang banyak,
tuan juga masih terbayang,

kalau memburu kijang di hutan,
berhati-hati tersesat jangan,
mendengar lunak bicara tuan,
bergetar hati tidak keruan,

rumah papan dihujung desa,
tiang dipasak kayu penyangga,
indah tuan cincin permata,
ternampak buruk di jari saya.

Di sisi taman mekar sang orkid,
di sisi paya lumpur yang banyak,
tinggi tuan helang dilangit,
rendah saya rumput dipijak.

October 1, 2009
1:41am

Published in: on September 22, 2010 at 12:50 pm  Leave a Comment  

Ada

tiada kata seindah bahasa
tiada bunyi semerdu lagu
tiada lukisan secantik potret
tiada cantik separas rupa
tiada lembut setanding bayu
tiada mahsyur laksana raja
tiada masyghul melainkan nestapa
tiada kaya kecuali berharta
tiada hina setanding miskin
tiada ilmu hatta berguru
tiada takut kerana salah
tiada berani kerana benar
tiada hidup selagi bernyawa
tiada mati berpantang ajal
tiada teringat kecuali rindu
tiada berharga melainkan sayang
tiada kasih setulus cinta
dan tiada budi seikhlas hati

Sept 26, 2009
12:01am

Published in: on September 20, 2010 at 11:25 am  Leave a Comment  

Syawal nan indah

Setelah subur berkah taman ramadhan
yang kita tuai ibadah dan amalan
berbaja ikhlas dan yakin; sesempurna mungkin
berbuahlah ranum; di syawal pagi harum
berimbun lebat padat berisi
berkuntum tertebar wangi di senyuman yang berseri
manisnya tercicip di dasar hati
lazatnya perkasa di sanubari

gerimis riang rintik-rintik jatuh
gema takbir terdengar sayup jauh
sebenarnya berkobar tak padam di dalam ruh
berbaju melayu sang jejaka
berkurung labuh si anak dara
segak tampan dan jelita menawan
bersalam kita menghulur kemaafan
disambut taulan lembut kerelaan
menghapus sengketa sesama kita; insan
seagama kita tetap, biar berbilang bangsa keturunan

Nah! Syawal nan indah kelihatan

Nerasau
Sept 11, 2010

Published in: on September 19, 2010 at 2:51 pm  Leave a Comment  

Bila

Bila menurut biar berakal,
bila berfikir biar pintar.

Bila bercakap jangan melulu,
bagai orang tiada ilmu.

Bila berjalan biar lurus,
jgn pula menongkah arus.

Bila melihat perkara janggal,
usah diikut biar ditinggal.

Bila ingin dihormati,
penuhkan ilmu di dalam diri.

Bila ingin menjadi hebat,
pastikan diri penuh berbakat.

Bila ingin dipuji,
jauhkan riak di dalam hati.

Bila meninggi diri,
tandanya syaitan sudah sebati.

Bila ingin mengalah,
pastikan diri tidak bersalah.

Bila ingin berdendam,
lekas-lekaslah padam.

Bila ingin mengata,
lihatlah dulu diri kita.

Bila ingin melangkah,
pastikan dulu tuju dan arah.

Bila ingin memilih,
yang mana rosak hendak dialih.

Bila ingin bertempur,
jadilah seperti pendekar yang mahsyur.

Parit Raja
September 25, 2009

Published in: on September 17, 2010 at 5:47 pm  Leave a Comment  

Kerlip

Sebutir bintang bermula dari sekecil debu angkasa,
Termampat dengan suatu kudrat,
Pencipta dan Maha Pencipta,
Sekian lama membentuk lapis-lapis atmofera,
Menggumpal dalam ruang vakum,
Jadilah sebuah medan yang berteras,
Kerana sifat graviti tidak pernah menolak,
Maka debu termampat menjadi jasad,
Mula mencorak molekul dan jisim,
Dan bintang itu sendiri ialah jirim,
Yang sebesar debu,
Dalam luas angkasa raya,
Sedangkan kita,
ialah sekecil mana?

Molek Garden,
August 29, 2009

Published in: on September 7, 2010 at 3:20 pm  Leave a Comment  

Tirai Ramadhan

Berlabuh tirai Sya’ban,
maka Ramadhan kan membuka jendela,
dan hati tertanya-tanya,
di manakah akanku bermula?
berpuasa di siang hari,
malamnya 20 rakaat sunat terawih,
sehingga di akhir ramadhan,
serupanya ia bermula,

maka aku mula mencongak,
untuk hijrah jiwa dan rohani,
mengharap rhaudah dan redha,
ingin aku kucup manis ramadhan,
pada hujung dzikir nama-nama Dzat,
bertaaruf pada tangan yang mengangkat munajat,
berilah aku senggang masa,
untuk menghisab diri dan peribadi,

Duhai Rabbul-Alamin,
yang memberi nikmat dan manfaat,
ingin aku rasa panas ramadhan,
membakar riak, ujub, hasad dan takkabbur,
ingin aku kecap angin ramadhan,
menyejuk hati, budi dan pekerti,
ingin aku jamah embun ramadhan,
menitiskan iman dan kehambaan,
ingin aku cicip hujan di ramadhan,
membasuh dosa dan noda,

Aku ingin suci,
pada syawal di pagi hari.

August 23, 2009

Published in: on September 4, 2010 at 4:00 pm  Comments (2)  

Pentafsir

dalam detik angin yang meniup,
ada desir suara dan nada yang sayup,
bunyinya seakan tiada,
yang tidak tajam deria tiada dengar,
yang tidak peka tiada mendapat khabar,
yang tidak menganalisa tiada peduli,
makanya; hanya terpilih kan tahu.

suara alam dihantar pencipta,
untuk umat yang menjadi khalifah,
biarlah dimana berada,
lirik-lirik rahsia itu senantiasa menjadi khisit,
untuk mereka yang masih meraba-raba,
kerana jiwa kosong adalah loba yang meminta,
untuk disumbat menurut hawa.

Molek Garden
Aug 9, 2009

Published in: on September 2, 2010 at 10:48 am  Leave a Comment