Antara Angin Dan Bayang-Bayang

angin dan bayang-bayang
dua sifat sama;jisim bertentang
angin dirasa; menjamah tenang
bayang dilihat; tanpa pegang
angin dan bayang terakrab kepalang
antara satu yang tidak pintang

angin yang tidak berpunca
bayang yang mencari cahaya
sang angin bisa jadi pemarah atau pemurah
sang bayang hanya pencontoh yang munasabah
resmi angin kekadang ribut atau sepoi bahasa
resmi bayang bersumber cahaya meneman setia
menggenggam angin hanyalah akidah taufah
mengejar bayang hanyalah menyia tingkah
jangan mecorak perilaku dongah sebagai khalifah
kerana diuji susah dan payah

sewaktu angin mengalunkan dzikir
bayang tersasar dilencongan mungkir
malam yang pekat hitam tanpa bulan mentadbir
menumpahkan tinta di takarir
angin menjejak rija’ dan khauf
menjunjung ke arasy segala makruf
bayang menjauh dari astaka taaruf
meninggalkan askara-askara suhuf
angin malam menyelak catit hamzah fansuri
memapar asma’ bicara sufi
yang harum direnjis wardah atau daisy

Johor bahru
Jan 10, 2010

Published in: on October 31, 2010 at 1:07 pm  Leave a Comment  

Kalau Sudah Dikata Rindu

Sebelum rebah kota marudu
biar saya pertahan dahulu
kalau sudah dikata rindu
disebut nama begetar qalbu

Kalau darah yang diburu
demi adinda saya beradu
kalau sudah dikata rindu
tidakkan lupa ingat selalu

Jangan diacah daun semalu
takut tersambar duri yang panjang
kalau sudah dikata rindu
sekali dengar minta diulang

Biar disumpah menjadi debu
dibawa angin bulan dan bintang
kalau sudah dikata rindu
dipandang cermin wajahnya terbayang

Begitu tabah saya menunggu
ingin bercerai sebaklah sayu
kalau sudah dikata rindu
belumlah sampai sudah terbau

Taman Molek
Oct 26, 2010

Published in: on October 27, 2010 at 2:27 am  Comments (4)  

Puisi Melayu

Puisi melayu puitis
sesejuk gerimis
ritma-nya rukun harmonis
askara rindu tersusun
syahdu meruntun
ayu dan anggun

kalau menegur halus
jika melarang jelas
andai memuja tulus
tika menyindir beralas
bila tercandu sekali
tagihnya tak peri
idamnya tujuh kali

puisi melayu bergema
sehalus bisik suara
geloranya bagai ombak
di dada resah sebak
mendebar si jelita
menanti cinta

rima-nya pesona
memanggil burung berkicau
iramanya beratur lawa
bagai giur dipukau
pohon pun tertawan
laut dan awan
sama tak tahan

puisi melayu ranum
wangi dan harum
bersimpul hukum
berikat syariat
bertatah perintah
menjunjung taat
menyusur adat
hikmah dan hikmat

Sand Warehouse
Oct 25, 2010

Published in: on October 25, 2010 at 4:18 pm  Leave a Comment  

Hakis

semakin diterangi semakin pudar
semakin dirasa semakin hambar
semakin dibalut semakin tipis
semakin ditambah terasa kurang
semakin diwarna terasa luntur
semakin tajam lagi menghiris
semakin hari semakin terhakis
haruskan aku menebat
hakisan yang semakin mengkakis
semangatku yang tiris

Johor bahru-parit raja
Mac 28, 2007
corrosion study
12.13 am

Published in: on October 22, 2010 at 4:44 pm  Comments (2)  

Kita Ultra

Dalam diam atau terang semangat kita tak padam
bertiup tak putus bagai angin, gelora berombak
selalu terbayang bila mata kita pejam
setuju kata di bibir tapi di hati menolak
ultra kita tak meracun fikiran sepenuh hayat
di bumi bertuah tinggalan pusaka adat
cuma bersepuh di luar tidak terkandung asnad
jadilah karat yang disebut sahibul-hikayat

semakin bahang semangat kita menyala luhur
cahaya-nya terang menyimbah tak luntur
namun silapnya bila salah menyambar bakar
sopan santun budiman berubah ultra kasar
obor jasa dan jamung bijaksana jadi lenyap
halus bicara dan hormat kata pun lesap
air mata malam tumpah melihat kita hilang adap

Kita ultra yang halimunan di mata, telinga dan kata
umpama api dalam sekam, di dalam nyala tak padam
asapnya tak nampak tapi berangnya rasa gelegak
cermat fikir selalu berhasil subur di benih usaha
menarik benang dalam tepung; kata licik selalu disiram
benang tak putus dua, tepung tak sepah merata
berpantang nenek moyang supaya tidak menolak cabar
biar mati di tangan ajal dari relakan wajah tercalar

Kita berubah ultra bukan dengan sengaja
jika tasik damai tak ditepuk berniat
jika pohon sabar tak ditoreh berhajat
jika ladang permai tak dimusnah berhasrat
ultra kita cuma menyampai pucuk maksud
supaya tahu jika dipanggil kan bersahut
kalau lazim disebut kita sila menyambut
ultra kita memilih bantai yang salah
biar rebah ditentang apa yang kita sanggah!

Molek Garden
Oct 18, 2010

Published in: on October 19, 2010 at 12:12 pm  Leave a Comment  

Kasih Rafidah

Kasih rafidah
terasa nyaman dipelukan
terasa hangat menyamankan
terasa sejuk kehangatan

tidak pernah terputus nafas kasihnya
dari nadi yang mengalir darah rindu
yang aku hirup maujud roh dan jasad
dari sezarah debu atau serumpun udara
masih lagi tersisa bercambah
mekar dalam semangat juang hidup

Kasih rafidah
seharum wangi Az-zahra dan kasturi
bersama hujan berkat dan mentari anugerah
membias warna pelangi kurnia Ilahi

kadang mengajar keras erti kasih sayang
separut dua luka tidak mengapa
biar berdarah setitis jadi ingatan
kadang menengking keras terdengar
sebenarnya suara merdu yang dicandu
dihamparkan sifatnya seluas carekawala budiman
yang tidak terbalas dengan segunung emas
atau berganti nyawa hatta

kerana kasih rafidah
membawa ke syurga kekal dan abadi

Johor Bahru-Rembau
Nov 21, 2009

Published in: on October 16, 2010 at 8:25 am  Leave a Comment  

Musafir Ke Makam Pahlawan I

Aku berjalan atas nama musafir bermudik takdir
antara dua kota yang sejarahnya masyhur terukir
di daerah selatan kotanya beradat ketemenggung-nan
di daerah tengah resamnya perpatih menyampaikan pesan
aku hirup merdu dan lunak angin selat tebrau
aku hembus wangi dan semerbak tanah salinan minangkabau
biar perlahan meresap di jiwa sejasa tambak johor
biar tertancap dan memagar perkasa Raja Melewar yang tersohor
tanah semenanjung yang sama di bawah langit yang berbeda

Aku berjalan atas nama musafir berteman khuatir
darah setampuk pinang lautan dalam hendak direnang
usia setahun jagung kail sejengkal hendak digulung
tidak terukur baju di badan sendiri; mentah kulit mentah isi
untung sabut atau batu; timbul tenggelam sendiri aku
hendak berpijak lantai pecah, hendak bernaung dahan patah
bait gurindam dan puisi Rumi adalah temanku yang karib

Aku susur irama ghazal di tepi lereng Istana Pasir Pelangi
tari inang memintal lenggok sopan di Istana Seri Menanti
di tengah musafir aku singgah di kota terakhir
kota Melaka di mana sejarah kita pernah tergelincir
menghanyutkan aku sebentar di makan pahlawan Naning
yang dulu mengusir petualang dengan garang dan tengking
kini hanya sepi di pusara berteman subur bunga kemboja
yang cantik dan molek spirit pembela-nya Dol Said

Sand Warehouse ~ Rembau
Oct 3~8, 2010

Published in: on October 10, 2010 at 4:14 pm  Leave a Comment  

Ketika Hati

ketika hati membara kerana ada perselingkuhan,
itu ialah api-api kecil yang membakar kewarasan,

ketika hati membenci kerana ada iri yang berakar,
itu ialah benci yang mula bersangkar,

ketika hati mula panas kerana tertusuk nyilu,
itu ialah pohon sabar yang mula layu,

ketika hati mendengki kerana diburu cemburu,
itu ialah hasad dari akal yang buntu,

ketika hati amarah dengan dungu congah,
itu ialah secupak kotor yang tiada faedah,

ketika hati disumbat dengan kesumat,
itu ialah angin yang meniup pekerti laknat,

ketika hati melupakan jasa yang mulia,
itu ialah sifat tanah yang gersang dibaja durjana,

ketika hati menghina kerana buruk rupa,
itu ialah keji yang lupa usul dunia,

ketika hati berdusta untuk menutup as-ssiddiq,
itu ialah hamba yang dikutuk al-khaliq,

ketika hati mendamba cinta mulia,
itu ialah masa pintu shurga dunia terbuka.

Molek Garden
October 26, 2009

Published in: on October 9, 2010 at 10:24 am  Comments (4)  

Alam nan indah

Hujan pagi baru sebentar pergi meninggalkan kita
sejuknya masih ikhlas membalut jiwa setulus redha
rerumpun yang basah dihujungnya embun sejernih mutiara
batuan kelikir yang merah sudah tidak garang warnanya
pohonan rimbun semakin hijau; pagi itu memukau

tanah berbau harum kasturi bila diciumi hati
awan hanya nipis-nipis mempamerkan keindahan langit
aman bertakhta tegap bagai raja gunung dan bukit
karya agung sang pengarang di laut yang tenang
kita kagum pada jelita alam yang berumur
kita takjub pada buana cantikĀ  kekal tak bersolek
kita taasub pada elok bumi abadi berisi
kita tergoda pada khazanah maya tetap kaya

Sezarah syukur lebih genting dari jutaan terima kasih tidak jujur
topeng manusia yang kita pakai segangsa pun tidak bernilai
hujan pagi yang berhenti berganti cahaya mentari nan giur
lorek pelangi mencoret kisah duga dan cuba kehidupan pelbagai
misteri dan rahsia kekal tercatit di sisi kita tersimpan sulit
tanpa kuasa tanpa daya tanpa nama kita tetap hamba
beri kuasa beri daya beri nama hamba tetap kita
di tanah bumi dahi kita sujud tanda kuasa maha maujud

semakin bahang matahari kian panas melebur walang
terangnya cantik terlukis oleh peluh menitis
tersimbah di pelosok maya membantu perhati kita
yang mengajar kita ambil selaut iktibar
yang mengesan kita surih jadi pembaris pengalaman
yang indah kita rakam di memoir nadrah

Taman Molek
Oct 5, 2010

Published in: on October 8, 2010 at 2:22 pm  Leave a Comment  

Asma’

‘Ketinggian’ ini meniti dalam sebuah naluri
mencairkan gunung cinta di dalam hati
membakar dengan panas jelingan dan senyuman
memuput angin rindu dari kota srikandi
mengalirkan sungai kasih di perlembahan kenangan
lalu menyuburkan taman-taman kerinduan
hingga hujan rintik terjalin antara selat semudera
yang memisahkan iklim antara benua
sementara ombak keliru hanyut di tengah titik maqam lazat
mencari kesempurnaan dalam khayalan sifat

‘Ketinggian’ bidadari yang penuh santun
menghulurkan salam dengan nur wada’ah
merampaikan wangi wardah yang harum tertebar
hampir jejambat pelangi yang merentas syahdu masa
lenyap dan luntur pekat warnanya menghirup wangi as-syifa’
tidak terdaya untuk aku bangunkan piramid mimpi yang melingkari bait-bait syair
dari merah delima bibir bidadari memekatkan rasa syukur yang surfina

Di mashyur ‘ketinggian’ yang menjadi rebut dan sebut
tertakhta mata yang redup memandang bahang cinta
ada sejuk bayu rhaudah menjadi milik Al-Malik
kuhirup ia dihujung panggilan terakhir
antara nafas dan angin bersatu pada sudut yang terhijab
menderu-deru dua kenangan yang tidak bisa dilupakan
inikah kompas yang mengarah ke gua jiwa yang tidak pernah diteroka

‘Ketinggian’ ibarat puteri kayangan yang didamba
jelita yang tidak pernah susut semakin merantai pohon gusar
merekahkan dedaun berahi yang kontang di dahan rawan
akar-akar tipis memutus harap kerana tanah walang ini
bukan lagi membagi hasanah

Pertemuan antara rejab dan sya’ban
memukau untuk terasing pada ramadhan yang sebentar
supaya air mata menghapus jejak bahtera
yang mashygul gulana dalam iklim cinta

Johor Bahru – Rembau
November 2009, 4-10.

Published in: on October 6, 2010 at 5:40 pm  Leave a Comment