Merafak Sembah Takziah

Angin selat tebrau dingin santun
ombak desaru menderu layu
puncak gunung ledang dan belumut juga panti hutan dedaun
tanah pulau aur, pemanggil, tinggi dan sibu
terpanggil menyampai salam pergi di juma’at yang syahdu
saat sibuk senja romantika

mercu di tanah johor bahru
membangunkan insan beretika ilmu
pasir gudang yang menjana industri
menggelombangkan teknologi dan lubuk rezeki
serelung tanah skudai dibentuk universiti
melahir para akademik mewaris ilmuwan ke generasi
adalah terzahir oleh daulat istana
untuk peri bersama rakyat jelata

saat sibuk senja romantika
melihat mentari pudar di bukit serene
atau di menara pasir pelangi
masa dijanji hampir waktu ditepati
Masjid Abu Bakar dan azan beremosi
dari beranda istana besar
meruntun hingga temasek sana
yang suatu masa adalah sejarah kita

hari ini kita berhenti 7 hari
kuda kepang atau ghazal yang menyanyi
muzik barongan atau zapin yang menari
tanda belasungkawa dan berkabung
kerana balairung yang berseri dulu kini kosong
masih tersedan pemergian Al-Mutawakkil diarak mendung

jajahan kecil mersing dan segamat,
juga kota tinggi, muar, kluang, dan batu pahat
tempatan perwira sopan lengkap dengan teluk belanga hitam
terlilit riben putih di songkok yang mengandam
tempatan pertiwi suci dengan kurung johor yang bersih
dibalik kerudung putih; menitis air mata kasih
merafak sembah takzim perutusan takziah
dengan bacaan Al-Fatihah di pusara Mahmoodiah

Makam kerabat di raja Mahmoodiah,
Januari, 23 2010

Advertisements
Published in: on December 28, 2010 at 4:25 pm  Leave a Comment  
Tags: ,

Mencari Warna

Selusuh warna yang pudar kerana hujan
atau mungkin terjemur ke matahari
atau juga dimamah embun malam tipis
sekali-kali tidak akan berseri kembali
bererti ia sudah larut atau reput malah terhakis
oleh ketajaman masa, ketirisan cuaca dan suasana
sehingga ia lenyap dalam cahaya
sehingga ia hilang dalam gelita
sehingga ia warna yang sukar dijejak
mustahil untuk ditebak
musykil untuk ditamsil
keliru dan ragu

dalam pencarian warna
pilihan yang cantik mestilah utama
sedang makna tidak apa-apa
apa biru itu kedamaian langit
apa hijau itu kenyamanan rimba
apa ungu itu selembut orkid
apa jingga itu setenang senja
warna bukan subjek kualitas atas planet
tapi picis yang layak dicerewet
atau cebis yang gampang dicubit

mencari keindahan warna
harus punya flora deria
atau miliki fauna rasa
bukan menerjah dan menujah tidak peka
apa merah itu perkasa berani
apa kuning itu ceria senyuman
apa hitam itu kecewa sepi
apa putih itu sebening ikhlas
herarki warna dalam mitos piramid pelangi
sering menjelma sebagai puteri
mengundang berahi dalam neraka hati

Pasir Gudang
Jan 12, 2010

Published in: on December 24, 2010 at 1:33 pm  Leave a Comment  

Pantun Kembara

Hujung sauh dilontari,
kayu terpasung berdiri,
hidup jauh seorang diri,
nasib digantung tidak bertali.

Dalam rasa ingin tahu,
membuat gelisah di ingatan,
hanya usaha jadi penentu,
moga berakah diperkenan tuhan,

Sudah rapuh papan di titi,
tidak dilongkah nanti terjerat,
kadang jatuh kita berdiri,
hendak mengalah jangan di niat.

Lapang dada memberi senyuman,
mudah meramal kata sebutan,
Bukan harta jadi ukuran,
tapi amal menjadi rebutan,

Sesudah selesai laku dan buat,
istiqamahkan pula dalam doa,
jangan terlerai tawakkal yang kuat,
moga terkabul laksana jaya.

Johor bahru
Dec 5,2009

Published in: on December 23, 2010 at 3:32 am  Leave a Comment  
Tags:

Tambak Johor Ke Temasek; Kisah Pasir Yang Tergadai

Dahulu tanah kecil seberang sana adalah hak kita
dari susur keturunan dan jalur generasi kesultanan
dipupuk sejarah seawal kemerdekaan
Malayan Union yang mengacah santun budi pekerti
terdidik dengan kelembutan pusaka taming sari
keinginan bukan maksud merancang tragedi
sekadar singgah menggertak petualang di hati
agar sedar pekerti lembut waja peribumi

kerana kasih padu kita lepaskan tanah kecil
kita tidak mahu tegar atau degil
demi harmoni muzika pasca merdeka, biarkan diambil
tidak kerana nila, rosak susu sebelanga
namun sejarah kita; mereka tidak sama
walau terakam dalam satu nota, berjurai askara

hari ini kita sorot kembali seperistiwa
Tambak Johor dan Temasek, Selat Tebrau perantara
tanpa sedar kita menjual tanah merdeka
kisah sebutir pasir yang tergadai
menangis dengan air mata berjurai
tatkala menyeberang selat permai
sedang kita ketawa lalai
sebutir pasir merentas selat bisa dianggap niaga langsai!

Stulang
Jan 29, 2010

Published in: on December 22, 2010 at 4:12 pm  Leave a Comment  

Hingusan

Aku menarik-narik sedutan
yang terkepompong dalam rongga nasal
lendir yang pekat tapi mudah mencair
segera mengalir ke hujung vestibul
lekas-lekas aku mencerup
dan jatuh pula ke rongga oral
kemudian aku kahakkan ke bumi
kerana tak sanggup kutelan lagi

Fariknsku melekit-lekit perit
peti vokal hilang upaya menjerit
rawan tiriodku merintih sakit
tenggorok trakea mengongkol batuk
di kelenjar krikoid lendir ini membuak
bikin epiglottisku terasa sesak
uvula diganggu tidak enak

Kekadang leleran ini menjalar
menjejer perlahan tak tersedar
bila diterjah perasan
kukesat laju dengan tapak tangan
biarpun tisu disebelah aku!

Inilah nikmat kecil yang hilang
kurniaan tuhan yang kita pinjam.

3rd, Steel Road
Dec 15, 2010



Published in: on December 15, 2010 at 4:20 pm  Leave a Comment  

Tiga Qul

Dunia ini adalah racun
yang membunuh perlahan
penuh bencana dan bahaya
yang datang menduga

pada Tuhan-lah kita berdoa
siang atau malam, pagi atau senja
memohon naung di bawah kudrat-Nya
merayu lindung dalam Iradat-Nya

dalam setiap nafas
busuk malang tidak terhidu
hapak petaka tidak berbau
dalam jarak sekaki
atau dura seribu batu

Qul-A’uzubirabbil falaq’
Qul-A’uzubirab bin-nas
Qul-huwallahu ahad’

Sand Warehouse
11 Nov, 2010

Published in: on December 15, 2010 at 3:46 am  Leave a Comment  

Kaf

Huruf Kaf
yang disurih
diucapkan fasih
bermakna kasih.

Setia Tropika Garden
Nov 21, 2010.

Published in: on December 13, 2010 at 1:53 pm  Leave a Comment  
Tags: ,

Nyawa Malam Kotaraya

Published in: on December 12, 2010 at 7:21 am  Leave a Comment  

Wardah

Published in: on December 8, 2010 at 5:01 pm  Comments (2)  

Telaga Hijrah

Perjalanan kita bermula, meniti Muharam
Zulhijah diam, diam meninggal pergi
mengajak kita berhenti, merenungi diri
di sisi-Nya, Telaga Hijrah yang murni
menyiram jiwa ruhani, kita singgahi

Damai angin asar Zulhijah
bertamu sabar menyambut Muharam
di tebing senja, berazam kita tafakur
memanjatkan doa, iltizam sejuta syukur
kita pun berwuduk di Telaga Hijrah
sepenuh khusyuk, airnya melimpah
terasa dakwah menakungi jiwa
menyaliri taman tarbiyah atma
tasik iman yang cantik dan asyik

Jamah-lah sereguk air Telaga Hijrah
agar hilang dahaga kita yang amarah
agar basah kesang nafsu yang ghairah
dan menyirami pula benih ibadah kita
menjadi pohon angkasa rimbunan pahala
supaya dapat nanti berteduh di syurga

Bersihkan dengan air Telaga Hijrah
segala dosa kita, ingkar dan salah
sepanjang Safar ke hujung Zulhijah
mengembalikan kita suci, untuk kembali

landasan Muharam, tanpa gesa kita langkah
perlahan, berjalan pulang ke pangkuan Allah

Sand Warehouse ~ Johor Bahru
Muharam 1, 1432H

Published in: on December 6, 2010 at 11:39 am  Comments (4)