Serombong Industri

Asap hitam berlomba kepul
bergabung di kaki langit
putih awan dicabul
burung yang menjerit
nafasnya tercepit
pandangnya perit
terbatuk sakit

Industri mega
malar meniti fasa
graf iktisad memuncak
serombong kembang mencanak
tanah terbiar lalang
bagaikan sezarah peluang
mencabar orang dagang

Kesan Rumah Hijau
terhijab bahananya
untung yang dicekau
ada bayarannya
ozon sfera dikikis
radiasi meniris
cuaca menggila
tak dapat diramal
menujahkan fasal

Alam tidak lagi permai
dulu mendakap damai
kini menyergah badai
dulu menyapa mesra
kini mengugut bala
baranya yang terpendam
siapakah yang mampu padam?

Pasir Gudang
Jan 31, 2011

Advertisements
Published in: on January 31, 2011 at 8:52 am  Leave a Comment