Jambu Yang Paling Merah

Jambu yang paling merah
melambaikan ghairah
agar digetisnya
untuk dicicip rasa enak
merah ranum yang berlemak
manis jus yang cerak

Di hujung ranting
jambu itu terbuai
bagai berjuntai untuk;
kugapai tak sampai
kujinjit tak capai
kukaut tak kena
kujangkau tak rasa
kubaling tak jatuh
aku merintih keluh

Seekor pipit kecil
hinggap di ranting
renek dan condong
mematuk-matuk lohong
jambu yang paling merah
melambaiku ghairah
bukan rezeki pagiku

Molek Garden
7 Jan, 2011

Advertisements
Published in: on January 8, 2011 at 3:57 am  Leave a Comment  
Tags: ,

Mega Gerimis

Selepas hujan mengguyur
bumi basah dan subur
perlahan mendung berpesan
awan mega secantik kurniaan
melambai rindu angin
pada pesona kirmizi senja
melorek langit jingganya

Sukma insan doa-nya mabrur
bersua teman dan tempat teduh
di langgar maghrib yang berlabuh

Hujung ranting dahanan muda
pucuk-pucuk dedaunan menghijau
dibuai sejuk serumpun udara
membalut gering jiwa luruh
ke dada bumi jujur mengeluh
tanah rohani lembap basah
melekuk kerikil ego amarah
sampai lembut berpadu
kerikil dan pasir bersatu

Mega petang
mengakrabkan malam dan gerimis
azan berkumandang
memanggil sembahyang hemah dan manis

Pulanglah ke raga tuhan
mendakap kehangatan syukur
tadahkan doa nan luhur
insaflah dalam tafakur
mengenangkan senja yang tiba

Sand Warehouse
25 Nov, 2010

Published in: on January 4, 2011 at 8:26 am  Leave a Comment  

Peniaga Malam Dan Saprah Kanvasnya

Peniaga malam gemuruh dadanya
bila menebarkan saprah kanvasnya
ke laut petak parkir kereta
milik si penguasa dewanbandaraya
gerainya berbumbung luas langit
hamparannya kasar diĀ  jalanan tar
yang berbonggol bukit senget
atau berlubang tidak rata

dengan perlahan;
dia menyusun sepenuh tekun
dengan berhemah;
dia mengatur sebaris jalur
dengan lunak;
dia mengail berumpankan kata
jika ada yang terpanggil
singgah ke lubuk rezekinya

Pasar Karat
26 Nov, 2010

Published in: on January 3, 2011 at 4:23 pm  Leave a Comment  
Tags: ,

Gaa..gaa..gagap

Gaa..gaa..gagapkah aku?

bukankah aku yang paling fasih
memutarkan bohong menjadi benar
berbondong-bondong menindih
rerumput yang berdiri wajar
hingga terkulai menyembah
gering di padang perintah

Gaa..gaa..gagap
bukankah aku yang sangat petah
menaburkan janji membawa harap
melonggok-longgokan sumpah
di atas mimbar kuasawan
hingga api ikrar terpadam
oleh angin mungkar yang menyiram

Gaa..gaa..gagap
bukankah aku yang maha saksama
mengagihkan harta dua pertiga
mencampak-campak adil
sen-sen kecil yang karat
ke dalam longkang haloba
tenggelam ditelan lumpur dosa

Aa..aa..aku
gaa..gaa..gagap untuk mengatakan benar
gaa..gaa..gagap untuk mengotakan janji
gaa..gaa..gagap untuk mengagihkan saksama

Sand Warehouse
24 Dis, 2010

Published in: on January 2, 2011 at 2:22 pm  Leave a Comment  
Tags: ,