Lebaran

Takbir raya begitu merdu
mengundang senyum di aidilfitri
nadanya berlagu di dalam syahdu
pada lebaran yang kini kembali

insan-insani; riuh juga mesra
menyambut ria kunjungnya syawal
baju melayu bersampin songket
baju kurung berselendang bawal
gema takbir pun harum di masjid
mendayu memuji agungnya Allah
di ruang ibadah, saf menanti jemaah
meraikan, manisnya kemenangan indah

Seusai solat yang penuh taat
bersilang pula salaman magfirat
diciumi tangan ayahanda
dikucupi dua pipi ibunda
sejuta ampun minta dipohon
merayu maafan nan rimbun
agar lerai dosa anakanda
dalam makbul doa, ayah bonda

Anak kecil girang riang
menyambut sampul wang raya
kunjungan pagi ke petang
terasa lebaran mewahnya
ikhlas yang memberi
pada cilik yang mengunjungi

Di meja, juadah nan terhidang
aneka kuih, ketupat dan rendang
menjamu ziarah yang datang
yang lama tidak ketemu
kerana jauh di rantau kota
yang dekat kurang bersapa
kerana bermusuh kisah lama
belajarlah bertanya khabar
dan memberi setulus ghafar
sempena sinarnya Syawal

Johor Bahru
26~27 Ogos, 2011

Advertisements
Published in: on August 27, 2011 at 11:36 pm  Leave a Comment  

Ramadhan Merdeka

Dua pertiga Ramadhan yang berlalu
meninggalkan ghairah dukanya kita
sesepi subuh selepas sahur yang sayu
berundur perlahan tika dijemput azan

Baki malam satu pertiga masih sepi
sunyi alam cantik dihias pelita api
angin-angin menderu; segenap penjuru
mendayu zikir syahdu; menyergap kalbu
insan-insan masih lena dalam syukurnya
bermimpikan nikmat luhur  bahagianya

Ramadhan, antara doa serta harapan
terhimpun dalamnya malam seribu bulan
malam membawa insan ke manis taat
dalam surah panjang bergaris nikmat
syahdu terukir dalam jiwa yang padu
merdu witir beralun di muara ramadhan rindu

Akhir malam meluruhkan khasiat dan zat
memenuhkan limpahan sepadat rahmat
wajarlah kita merebut ikhtiar
wajarlah ikhtiar berikat sabar
agar merdeka di fajar Syawal

Johor Bahru
23 ~ 24 Ogos, 2011

Published in: on August 26, 2011 at 10:14 pm  Leave a Comment  

Perahu Tua Di Tepi Tasik

Senja mula memanggil burung pulang
kirmizi mulai garing mewarna alam
perahu tua hidupnya seorang
di pinggir tasik terasa suram

kabus-kabus kesejukan
air hijau kepermaian
lalang-lalang kesuburan
anak-anak ikan
lumut-lumut kehijauan
teratai-teratai mekar
bayang-bayang alam
bersenandung dalam azan maghrib

Dia dikelilingi hutan paya
bakau tinggi tumbuh melata
sesekali air berkocak mengusik
merenggut dirinya yang sedang asyik
oleng-olengan air
seolah perahu tua sedang bersyair

syairnya;
“Kasihan aku si perahu tua
sepi sendiri di tasik cantik
namun syukur pada tuhan
kerana dayungku masih remaja”

Seri Alam
Ogos 18, 2011

Published in: on August 12, 2011 at 10:45 pm  Leave a Comment  
Tags: ,