Kataku

Kuasah kataku
menjadi tajam seperti kilat
ayatnya kupilih
dari racun neraka
hurufnya kutempa
dari besi pahit
maknanya kuisikan
dengan seratus belati
agar jika disampai
biar tertusuk terus mati

Di dalam kataku
kulaungkan suara guntur
kukalung gema halilintar
biar separuh benua
biar 7 petala
biar seisi buana
merasai debarnya
terlucut getarnya
kuasa siapakah yang akbar?
mari kuucap sepatah kataku.

Johor Bahru
18 July, 2012

Published in: on July 18, 2012 at 6:28 pm  Leave a Comment  

Nisfu Sya’ban

Kita berdiri di tebing jendela,
melihat awan malam dilukis tuhan.
Sinar bulan megahnya, dalam gelisah
melihat resah hamba dan penguasa-Nya.

Tiba-tiba alunan zikir syahdu
yang dibawa angin, bertakbir sayu
merintihkan hujan, jatuh seperti salju.

Titis hujan, tempias melanggar bata
berderai bak butir-butir permata,
mengajak kita ke murni akal hati
merenungi nikmat dan rahmat ilahi.

Hujan malam ialah redha tuhan pada insan.
Hujan malam ialah kurnia tuhan pada manusia.
Kita bergabung di dalamnya, mencari agung rahsiaNya.

Dari tanah langit ke dada bumi
seluas-luas buana disirami,
ke kebun rohani yang subur
jua taman duniawi yang takbur.
Masih tersisa kasih cintaNya.

Malam ini, Tuhan bukakan
gerbang langit sepenuh ihsan.
Doa-doa insan melayang terbang
ke pucuk cita impiannya.
Dosa-dosa keruh pun terbasuh
dan jernih seperti lahirnya.

Sand Warehouse
Julai 5, 2012.

Published in: on July 5, 2012 at 7:13 pm  Leave a Comment  

Di Padang Kota, Bulan Itu Atas Kepalaku

Tidakkah malam itu
wahai permaisuri kalbu
kau bertakhta penuh syahdu
dalam istana mewah cinta
Padang Kota halaman kita

Kita ronda denai pengalaman
kisah suka duka perhubungan
aku langkah lelah kepenatan
tapi kau tetap manis dalam senyuman

Tidakkah malam itu
duhai permaisuri seluruh rindu
bulan itu atas kepalaku
tika berbantalkan ribaanmu
malam pantas bertukar pagi
dingin angin pun terasa salji

Padang Kota
Feb 6, 2012.

Published in: on February 15, 2012 at 11:27 pm  Leave a Comment  

Malam

Malam itu adalah pakaian
menutup tubuh kehidupan
setelah siang kita bugil-kan
dengan noda-noda, jua dosa-dosa

malam itu ialah selimut
yang mendakap seluruh hidup
setelah siang kita lurut
segala mimpi segala taksub

malam menyerkup dengan gelap
mengencup seribu macam sikap
disebalik dingin dan suram
keinginan hati tambah dalam
mengorek-ngorek lubuk nurani
tercotet-cotet nafas pergi

Tetapi masihkah jua ada insan
yang menanggalkan malamnya
bangun dari tilam keduniaan
mencopotkan jubah mimpinya
dan sujud di sejadah amalan

Johor Bahru
Dec 11, 2011

Published in: on December 11, 2011 at 9:53 pm  Leave a Comment  

Damai Hijrah

Angin- damai yang bertiup – sejuknya mencengkam;
dalam malam sayup, menggegar batin yang suram
kita imbas sejarah mula, paling mendidik teduh rohani
seribu empat ratus tahun kita himpuni dan tekuni
kembali teroka musim iktibar mendalami iklim cabar

Kenangkah kita sewaktu Mekah dirusuh musibah
dan Rasul dalam tidurnya masih diigau resah
lalu datang Jibrail membawa kata-kata Allah
agar muslimin berhijrah ke Madinah Al-Munawwarah

Hijrah Rasul ternyata berpohon hikmah
menyuburi permata saudara di taman ukhwah
sabar yang menguji kian pula redha berpaksi
Islam mekar mewangi tambah tersebar mengharumi
Muhajirin dan Ansar berpadu di satu mimbar
teguh janji Ashadu demi cinta Muhammadu
secantik panorama fajar; semerdu bunyi sitar

Kini kita selami peristiwa itu- bermuhasabah diri
hijrah Rasul demi umat, pada kita limpahnya nikmat
hijrah kita sendiri menuju-lah jalan yang diredhai.

Johor Bahru
Nov 23, 2011

Published in: on November 25, 2011 at 7:14 am  Comments (1)  

Lipas

Lipas
(sebuah kota lipas yang dihuni oleh lipas-lipas)

Di daerah gelap
di lurah lembap
ada koloni tersembunyi

di celah almari
di bawah sinki
di lubang longkang
di kandang sampah
di rongga lompong
di salur najis
di atas atap
di dalam tanah
di luar rumah
di sudut jamban
di sela timbun kayu
di susup timbun batu
di mana bauan hancing
di situ jua hapak

hidupnya tetap dikalang noda
makannya cuma sisa-sisa
jantannya mengawan buas
betinanya bertelur puas
permaisuri juga yang mewah

Johor Bahru
Nov 24, 2015

Published in: on November 24, 2011 at 11:58 pm  Leave a Comment  

O Bulan

O bulan
malam ini sepi
telah khayal
menembusi lara
satu jiwa
ditikam jantungnya
dirobek jasadnya
yang tinggal
cuma ruh

O bulan
ku seru namamu
dengan kemenyan kasih
daun sireh bertemu urat
limau kasturi belah dua
pulut kuning sepinggan
darah ayam jantan semangkuk

tidakkah dapat
kita bertemu kembali
ketika langit bertukar hitam
dan hujan pada
malam itu membasahkan
rumput-rumput taman
pohon-pohon jalan
kereta-kereta di parkir
jua tanah kerikil
jua bunga kemboja
yang subur
di nisan pusara

O bulan
tanpa hujan
tanpa malam
tanpa warnanya hitam
aku selalu
iri
menjadi manusia dengki

9 Oct, 2011
Johor Bahru

Published in: on October 10, 2011 at 12:55 am  Leave a Comment  

Angin

Angin yang menderu
kencang dan kuat
dingin pun meluru
menggoncang dahsyat

lingkar takut
di sangkar maut
pohon direnggut
dahan dicabut
atap ganyut
berdeting lucut
papan rapuh
longkah dirempuh
baju di ampai
kibar diderai

lalu hujan
rintik rintik jatuh
basah, titis titis air
kilat, memanah silau silau
guruh, mengaum dengung

malam ini
sejuk mencengkam
ke rongga sum-sum
yang paling dalam

Johor Bahru
28 Sept, 2011

Published in: on September 28, 2011 at 1:01 am  Leave a Comment  

Selamat Hari Jadi Buat Diri Ku

Selamat hari jadi buat diriku sendiri
sebuah kek besar aku pasangkan
tiga lilin di atasnya menerangi
dan segala cahaya aku padamkan
limpahkanlah nur-Mu menerangi
dalam rumah kotak ini wahai Tuhan
yang cuma ada dua bilik
dan satu-satunya tandas

Selamat hari jadi buat diriku sendiri
ucapan syahdu buat diriku sendiri
cahaya lilin digetar angin
segera aku tiup supaya lekas padam

dan aku pun meraikan
hari jadi ku sendiri
dalam kegelapan ruang

bukankah nanti
tempat kita di sana?

Johor Bahru
26 Sept, 2011

Published in: on September 27, 2011 at 11:08 pm  Leave a Comment  

Lebaran

Takbir raya begitu merdu
mengundang senyum di aidilfitri
nadanya berlagu di dalam syahdu
pada lebaran yang kini kembali

insan-insani; riuh juga mesra
menyambut ria kunjungnya syawal
baju melayu bersampin songket
baju kurung berselendang bawal
gema takbir pun harum di masjid
mendayu memuji agungnya Allah
di ruang ibadah, saf menanti jemaah
meraikan, manisnya kemenangan indah

Seusai solat yang penuh taat
bersilang pula salaman magfirat
diciumi tangan ayahanda
dikucupi dua pipi ibunda
sejuta ampun minta dipohon
merayu maafan nan rimbun
agar lerai dosa anakanda
dalam makbul doa, ayah bonda

Anak kecil girang riang
menyambut sampul wang raya
kunjungan pagi ke petang
terasa lebaran mewahnya
ikhlas yang memberi
pada cilik yang mengunjungi

Di meja, juadah nan terhidang
aneka kuih, ketupat dan rendang
menjamu ziarah yang datang
yang lama tidak ketemu
kerana jauh di rantau kota
yang dekat kurang bersapa
kerana bermusuh kisah lama
belajarlah bertanya khabar
dan memberi setulus ghafar
sempena sinarnya Syawal

Johor Bahru
26~27 Ogos, 2011

Published in: on August 27, 2011 at 11:36 pm  Leave a Comment