Kami punya sebuah tivi
bentuknya petak empat
depannya rata lurus
belakangnya kembung mengandung
ditulis situ ‘made in china’
butangya cuma satu di badan
yang lain di remote kawalan
untuk gambar yang terang
kami perlu sepasang antena
yang lurus dan panjang
jika tersentuh akan terasa direnjat
kerana ada arus kecil yang mengalir
tanpa antena
gambarnya cuma kelabu bertiti-titik
sebelum bertukar biru
atau suaranya berderak-derak
sebelum menjadi senyap
Tivi itu, tivi pertama kami
cuma semalam ia telah rusak
tika sekeluarga sedang menonton
berita perdana jam lapan
sebelum makan malam
tiba-tiba ia menjadi sunyi
gambarnya hilang terpadam
dan rumah dilanda sepi
Abah menghidupkan motor
ke kedai kopi
ibu segera ke dapur
menyediakan nasi
kami adik beradik- menepuk-tepuk tivi
“bagunlah-bangunlah” kata si bongsu
kerana esok ada kartun Doraemon.
June 25, 2011
Molek Garden